SEREMBAN, 15 Oktober – Sebanyak 10 kluster influenza dan Influenza-Like-Illness (ILI) dilaporkan di Negeri Sembilan setakat minggu ini, meningkat berbanding empat kluster pada minggu sebelumnya.
- 10 kluster influenza/ILI dilaporkan di Negeri Sembilan minggu ini, meningkat berbanding minggu sebelumnya.
- Sembilan kluster dikesan di sekolah kementerian, satu di tadika swasta; majoriti kes melibatkan pelajar.
- Aminuddin nasihatkan ibu bapa pantau kesihatan anak, biarkan yang sakit berehat di rumah untuk elak penularan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata peningkatan itu membabitkan 299 kes, berbanding 154 kes yang dicatatkan pada minggu lalu.
Katanya, daripada jumlah tersebut, tujuh kluster dilaporkan di daerah Seremban, manakala masing-masing satu kluster di Jelebu dan Rembau.
Sebanyak sembilan daripada keseluruhan kluster itu dikesan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan, manakala satu lagi di sebuah tadika swasta.
“Alhamdulillah, situasi masih terkawal. Saya berharap ketika cuti panjang ini, ibu bapa dapat memantau anak-anak supaya tidak mudah dijangkiti. Apabila sekolah dibuka semula nanti, kita harap mereka kembali dalam keadaan sihat.
“Bagi anak yang tidak sihat, saya nasihatkan agar ibu bapa membenarkan mereka berehat di rumah supaya penyakit ini tidak terus merebak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di Seremban, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin memaklumkan sebanyak 46 kes denggi dilaporkan minggu ini, menurun sedikit berbanding 49 kes pada minggu sebelumnya.