KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Pemain kebangsaan, Faisal Halim menegaskan fokus pemain Harimau Malaya tidak tergugat menjelang aksi kelayakan menentang Laos malam esok, meskipun pelbagai isu luar padang berlaku.
Faisal berkata semua pemain kekal bersemangat dan bersatu dalam memastikan skuad kendalian Peter Cklamovski itu terus mempamerkan prestasi konsisten selepas mencatat kemenangan 3-0 pada aksi perlawanan di tempat lawan.
Setiap pemain kini memberi tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan pasukan dan tidak mahu terpengaruh dengan isu di luar kawalan mereka.
“Sebagai pemain, kami teruskan tanggungjawab kami. Kami berjuang untuk hak kami, tetapi perkara di luar kuasa kami bukan tanggungjawab kami. Kami hanya fokus kepada tugas kami di padang dan memastikan pasukan tetap kuat,” kata beliau pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Sementara itu mengenai prestasi peribadinya, Faisal mengakui kembali menemui sentuhan jaringan selepas hampir dua tahun tanpa gol bersama skuad kebangsaan.
Beliau yang menjaringkan gol pertamanya selepas 623 hari berkata, jaringan itu menjadi pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada pasukan dan membantu Malaysia meraih kemenangan seterusnya.
“Alhamdulillah, selepas 623 hari tanpa jaringan, hampir dua tahun, saya akhirnya menjaringkan gol semula untuk pasukan kebangsaan. Saya sangat gembira. Jurulatih beri saya peluang untuk buktikan kemampuan dan saya berusaha keras mencapai sasaran itu. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dan memberi semangat. Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan baharu untuk saya teruskan perjalanan ini,” jelas beliau.
Faisal juga berharap momentum positif itu dapat diterjemahkan dalam perlawanan menentang Laos, sekali gus memastikan Harimau Malaya mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.
Malaysia bakal turun beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok dengan misi mengukuhkan kedudukan dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F serta menghadiahkan kemenangan kepada penyokong tempatan.