TOKYO, 13 Oktober – Tiada negara pernah menjuarai Piala Dunia dengan jurulatih kelahiran luar, namun Carlo Ancelotti optimis bahawa 'sentiasa ada kali pertama' ketika beliau memburu kejuaraan bersama skuad kebangsaan Brazil.
Jurulatih dari Itali itu menjadi jurulatih asing pertama Brazil dalam tempoh enam dekad selepas mengambil alih pasukan pada Mei lalu dan berjaya membawa juara dunia lima kali itu layak ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Brazil kini berada di Jepun bagi aksi persahabatan menentang tuan rumah di Tokyo pada Selasa, selepas membelasah Korea Selatan 5-0 di Seoul minggu lalu.
“Sasaran saya adalah memberikan yang terbaik untuk pasukan Brazil, membantu mereka bermain pada tahap tertinggi dan memenangi Piala Dunia,” kata Ancelotti.
“Benar, belum ada jurulatih kelahiran luar yang pernah menang Piala Dunia, tetapi dalam hidup, sentiasa ada kali pertama,” tambahnya.
Brazil menempuh laluan sukar dalam kempen kelayakan apabila menamatkan saingan di tempat kelima zon Amerika Selatan. Ancelotti merupakan jurulatih keempat pasukan itu sejak Tite meletak jawatan selepas kekalahan kepada Croatia di suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.
Kemenangan besar ke atas Korea Selatan menyaksikan pemain muda berusia 18 tahun, Estevao, menjaringkan dua gol manakala duo Real Madrid, Rodrygo dan Vinícius Jr. turut menemui sentuhan jaringan.
Walaupun penyokong Brazil melihat kemenangan itu sebagai kebangkitan semula 'jogo bonito' (gaya permainan indah), Ancelotti menegaskan keindahan permainan pasukannya turut berpaksikan kepada kerjasama berpasukan dan disiplin taktikal.
“Pemain Brazil memiliki bakat semula jadi untuk bermain bola sepak yang cantik, tetapi keindahan itu juga bergantung kepada pergerakan tanpa bola dan kerjasama pasukan,” katanya.
Brazil ke Asia tanpa kehadiran penyerang utama, Neymar yang masih menjalani pemulihan akibat kecederaan paha dan dijangka hanya pulih pada November.
Ancelotti tetap yakin dengan kemampuan penyerang berpengalaman itu.
“Jika Neymar berada dalam keadaan cergas, sudah tentu dia boleh menyertai pasukan kebangsaan. Malah, jika dia cergas, dia boleh bermain dalam mana-mana pasukan di dunia,” ujarnya. -AFP