fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Asia: Laos janji beri tentangan sengit di Bukit Jalil

Ketua jurulatih Laos, Ha Hyeokjun/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Ketua jurulatih Laos, Ha Hyeokjun menegaskan pasukannya berazam memperbaiki kelemahan serta mempamerkan aksi lebih mantap apabila berdepan Malaysia dalam perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok (Selasa)

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata kekalahan 0-3 kepada Harimau Malaya di Vientiane minggu lalu menjadi pengajaran berguna buat skuad kendaliannya.

“Malaysia jelas pasukan yang lebih baik, namun kami belajar daripada kesilapan dan mahu lebih bersedia kali ini.

"Kami harap dapat keputusan lebih baik untuk Laos,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu turut mengucapkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas layanan mesra dan kemudahan latihan yang disediakan kepada skuad itu sejak tiba di Kuala Lumpur.

Hyeokjun turut mengulas isu penggantungan tujuh pemain warisan Malaysia oleh FIFA dan menyifatkan perkara berkenaan boleh memberikan kelebihan dalam jangka pendek, namun turut mempunyai risiko.

“Banyak negara menggunakan pemain naturalisasi untuk menutup jurang dengan pasukan besar. Ia boleh membantu dalam jangka pendek, tetapi mesti dilakukan dengan betul agar tidak menjejaskan pembangunan pemain tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, pemain sayap pasukan Laos, Kydavone Souvanny, mengakui mengakui Harimau Malaya memiliki kelebihan dari segi pengalaman serta kualiti individu, termasuk beberapa pemain yang beraksi di luar negara.

“Kami tahu kekuatan Malaysia, jadi kami akan bermain sebagai satu unit untuk menutup ruang dan mengurangkan peluang mereka,” katanya.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya mendahului kumpulan F dengan 9 mata hasil tiga.

Manakala, Laos menduduki tangga ketiga dengan tiga mata hasil satu kemenangan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD