IPOH, 13 Oktober - Kejohanan Bola Keranjang 3 Lawan 3 Tanpa Henti sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 melakar sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kejohanan paling lama pernah dianjurkan di negara ini.
Acara anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kelab Bola Keranjang MVP itu mencatat tempoh permainan tanpa henti selama 16 jam, menjadikannya antara penganjuran paling unik dalam sejarah sukan tersebut.
Lebih 700 pemain dari seluruh negara mengambil bahagian, sekali gus menjadikan kejohanan berkenaan antara yang terbesar dari segi penyertaan dalam kalendar sukan tempatan.
Majlis penyerahan sijil pengiktirafan disempurnakan oleh wakil MBOR kepada Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Azura Abidin, dalam satu acara khas yang berlangsung di Dataran Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Program berkenaan bukan sahaja bertujuan mencatat rekod, tetapi juga menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat serta membudayakan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.
Selain itu, penganjuran kejohanan tersebut turut menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia, mencerminkan semangat kesukanan, kebersamaan dan aspirasi HSN untuk menjadikan sukan sebagai gaya hidup masyarakat.