LONDON, 13 Oktober – Kelab Liga Perdana Inggeris, Crystal Palace telah memulakan rundingan dengan pengurus pasukan itu, Oliver Glasner berhubung lanjutan kontrak bersama kelab itu, kata pengerusi Steve Parish.
Kontrak pengurus kelahiran Austria itu dijadualkan tamat pada penghujung musim ini.
Glasner mencipta sejarah apabila membimbing Palace menjulang trofi Piala FA musim lalu iaitu kejuaraan utama pertama dalam tempoh 164 tahun sejarah kelab tersebut.
Selain itu, kelab berkenaan turut memenangi Perisai Komuniti pada Ogos lalu.
Pihak pengurusan kelab itu kini berharap pengendali berusia 51 tahun itu akan kekal untuk membantu kelab berkenaaan mencipta lebih banyak kejayaan.
“Kami sudah mengadakan perbincangan awal,” kata Parish kepada stesen radio TalkSport pada Ahad. “Kami sangat mahu mengekalkan Oliver kerana kami sedang membina sesuatu di sini.
“Bagi Oliver, ia bergantung kepada keadaan yang sesuai. Segalanya perlu dalam keadaan yang membolehkan beliau menikmati kerja dan mempunyai suasana yang baik untuk mencapai kejayaan. Oliver seorang yang mahu menang.
"Dia tidak menyembunyikan perkara itu. Itulah sebabnya dia berada dalam dunia bola sepak. Jadi, jika kami dapat menyatukan kepentingan tersebut, diharapkan sesuatu dapat direalisasikan.”
Ketika ini, Crystal Palace menduduki tangga keenam liga dengan memungut 12 mata daripada tujuh perlawanan dan bakal menerima kunjungan Bournemouth pada Sabtu ini. - REUTERS