BUENOS AIRES, 13 Oktober - Rekod tanpa kemenangan kelab gergasi Argentina, River Plate berterusan selepas tewas 0–1 kepada Sarmiento di Stadium Monumental.
Kekalahan itu sekali gus merupakan kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Torneo Clausura Argentina.
Pasukan itu kini hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, dan berada di tangga kelima Kumpulan B dengan 18 mata iaitu lima mata di belakang pendahulu Deportivo Riestra yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Kemenangan itu pula melonjakkan Sarmiento ke tangga kelapan dan dalam kelompok perebutan tempat playoff dengan 15 mata.
Bermain dalam keadaan hujan renyai, tuan rumah, River Plate bermula agresif dengan beberapa percubaan awal, namun pasukan pelawat, Sarmiento mengejutkan tuan rumah pada minit ke-30 apabila Ivan Morales memanfaatkan kesilapan penjaga gol, Franco Armani.
Bola yang gagal dikawal kemas oleh Armani disambar penyerang Chile itu untuk gol tunggal perlawanan.
“Padang agak licin, jadi sebagai penyerang saya menunggu peluang jika penjaga gol terlepas bola.
"Dan akhirnya ia menjadi gol,” kata Morales kepada TNT Sports.
“Pasukan River sangat kuat, jadi menang di sini amat bermakna bagi kami", ujarnya.
Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan sebelum rehat, namun penjaga gol Sarmiento, Lucas Acosta melakukan penyelamatan cemerlang menafikan dua percubaan River Plate.
Bersambung babak kedua, River Plate terus menguasai permainan tetapi sukar menembusi benteng kental pertahanan Sarmiento.
Beberapa peluang dicipta namun gagal disudahkan penyerang.
Keadaan itu menyebabkan para penyokong tuan rumah mulai berang dan kecewa dengan aksi yang ditunjukkan pasukan berkenaan.
Pemain pertahanan River Plate, Paulo Díaz hampir menyamakan kedudukan dengan rembatan jarak jauh yang terkena palang pada minit ke-70.
Nasib malang terus menghantaui River Plate selepas gol penyaman pasukan berkenaan oleh pemain gantian Miguel Borja dibatalkan oleh VAR, kerana ofsaid.
ini sekali gus mengesahkan kemenangan mengejut 1–0 Sarmiento di gelanggang gergasi Argentina itu. - REUTERS