fb fb fb fb fb

Harimau Malaya: Cklamovski mahu fokus menentang Laos, bukan kontroversi

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski ketika sidang media praperlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, menegaskan tumpuan pasukan kini sepenuhnya terarah kepada aksi menentang Laos malam esok dengan matlamat meraih kemenangan di laman sendiri.

Beliau berkata persiapan skuad kebangsaan berjalan lancar dengan semua pemain menunjukkan tahap kecergasan yang baik termasuk mereka yang sebelum ini mengalami kecederaan ringan.

“Ada satu dua pemain yang sebelum ini belum 100% pulih, tapi mereka menunjukkan kemajuan yang baik. Contohnya Hendrix kami bawa dia ke sini supaya pasukan perubatan dapat bantu proses pemulihan. Kami ada pasukan prestasi tinggi dan perubatan yang bertaraf dunia. Jadi inilah tempat terbaik untuk pemain kembali ke tahap terbaik. Saya boleh katakan semua yang disenaraikan untuk esok akan bersedia sepenuhnya ” katanya dalam sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Dalam pada itu, Cklamovski mengakui pasukan masih perlu memperbaiki aspek penyudah, meskipun berjaya mencipta banyak peluang pada perlawanan terdahulu.

“Tapi betul, kami boleh jaringkan lebih banyak gol tempoh hari. Jadi, kami fokus untuk memperbaiki ketajaman penyudah, menjadi lebih 'ruthless'. Namun paling penting, kami fokus kepada prestasi berpasukan,” jelas beliau.

Pada masa sama, pengendali dari Australia itu menolak untuk memberi tumpuan terhadap isu luar termasuk kontroversi berkaitan pemain warisan, sebaliknya mahu mengekalkan fokus terhadap pembangunan pasukan.

Selain itu, beliau turut menyeru pemain ke-12 Harimau Malaya untuk hadir memenuhi stadium bagi memberi semangat kepada pemain dan menegaskan bahawa pasukan kebangsaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia.

Malaysia akan menentang Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F di laman sendiri malam esok dengan misi mengekalkan rentak kemenangan selepas mencatat kemenangan 3-0 pada Khamis lalu.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN