fb fb fb fb fb

KelantanFM anjur 'Sukan Dulu-Dulu' sempena sambutan Hari Sukan Negara

Acara boling kelapa antara sukan yang dipertandingkan pada program 'Sukan Dulu-Dulu' anjuran KelantanFM/ RTM

KOTA BHARU, 13 Oktober - Sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat jabatan, KelantanFM tampil menjayakan program sukan bertemakan 'Sukan Dulu-Dulu' yang berjaya menarik penyertaan hampir 100 kakitangan.

Pengarah Penyiaran Kelantan, Ivan Toh berkata program itu diwajibkan kepada semua warga kerja stesen berkenaan sebagai usaha mengeratkan ukhuwah selain membudayakan gaya hidup sihat dan tubuh yang cergas.

Sebanyak 10 acara sukan tradisional dipertandingkan dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan, sekali gus menyahut seruan kerajaan melalui tema sambutan HSN tahun ini iaitu 'Malaysia Aktif'.

1310 KELANTANFM SUKAN DULU DULU2
Pengarah Penyiaran Kelantan, Ivan Toh ketika ditemui pada program 'Sukan Dulu-Dulu' anjuran KelantanFM

"Untuk edisi 2025 ini kita bawakan sukan dulu-dulu, jadi kita nampak penglibatan semua pegawai-pegawai kita dan itulah yang kita nak sebenarnya, kita nak ambil kesempatan ini untuk eratkan silaturahim antara kita dan juga amalkan gaya hidup sihat, itu yang penting sebenarnya, objektif utama HSN memberi kesedaran memupuk gaya hidup sihat dengan tema Malaysia Aktif tahun ini," kata beliau, di sini hari ini.

Antara sukan yang dipertandingkan ialah acara boling kelapa, selipar gajah, lari dalam guni, ular dadu dan tarik tali.

Bagi menambahkan kemeriahan, penganjurannya turut digabungkan dengan Hari Keluarga Tabika KEMAS KelantanFM, melibatkan penyertaan anak-anak serta ahli keluarga warga jabatan berkenaan.

Menurut Ivan, penganjuran tersebut bukan sahaja menceriakan suasana, malah memperkukuh semangat kekeluargaan dan kebersamaan antara warga jabatan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN