fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis sertai Kayuhan Smart MAL

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan menyertai program Kayuhan “Smart Mal” di Imazium Damansara, pada Ahad/ BERNAMA

PETALING JAYA, 13 Oktober- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan menyertai aktiviti berbasikal sempena program Kayuhan Smart MAL yang diadakan di Imazium, Damansara Uptown.

Baginda menyertai kira-kira 80 peserta dalam kayuhan sejauh 13 kilometer yang turut melibatkan beberapa hentian, termasuk di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun.

Keberangkatan tiba serta penglibatan baginda menyerikan lagi acara tersebut dan menjadi simbol sokongan terhadap usaha memupuk budaya gaya hidup sihat, aktif dan berdisiplin dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Mal Tel Technology, Simon Yew berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah penyatuan masyarakat dan penggalak kepada gaya hidup yang lebih sihat dan bertanggungjawab.

"Kita harap setiap tahun kita dapat anjurkan program macam ini untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berlainan pula, jadi matlamat utama untuk program ini adalah untuk mewujudkan serta menjalinkan hubungan baharu di antara semua peserta, dari kalangan kerabat diraja dengan rakyat di sini," kata beliau selepas majlis pelancaran program Kayuhan Smart MAL, pada Ahad.

Program kayuhan tersebut bukan sekadar aktiviti riadah berbasikal, malah turut membawa mesej keprihatinan sosial dan tanggungjawab komuniti melalui aktiviti sumbangan kepada golongan memerlukan serta institusi pendidikan.

Inisiatif tersebut mampu memperkukuh semangat perpaduan serta menyemai kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan fizikal dan mental dalam kalangan rakyat.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN