KUALA LUMPUR, 13 Disember- Ketua Jurulatih Sabah FC, Jean-Paul de Marigny menegaskan beliau tidak berminat untuk meniru pendekatan bertahan yang digunakan Shanghai Port menjelang aksi final Piala FA 2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurutnya, taktik yang digunakan juara Liga Super China (CSL) 2025 itu ketika menentang JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) baru-baru ini tidak selari dengan identiti permainan Sabah.
Walaupun Shanghai Port terpaksa menyerap asakan hebat dengan 48 percubaan termasuk 12 tepat ke sasaran oleh JDT, mereka tetap berjaya mencuri satu mata dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Namun, De Marigny menjelaskan Sabah merupakan pasukan yang gemar menyerang dan konsisten menjaringkan gol, sekali gus menjadikan pendekatan bertahan sepenuhnya tidak sesuai dengan pelan taktikalnya.
“Sabah adalah pasukan yang suka menyerang. Kami percaya kepada prinsip permainan sendiri dan akan terus berpegang kepadanya,” katanya.
Sabah FC ketika ini berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada tahun 1995.
Final ini juga dilihat sebagai medan kebangkitan dan peluang Sang Badak membalas dendam selepas dibelasah 8-0 oleh JDT dalam aksi liga pada September lalu.
Beliau berkata demikian pada sidang media pra-perlawanan final Piala FA 2025 yang berlangsung di Bukit Jalil hari ini.