BANGKOK, 13 Disember - Malaysia hanya selangkah lagi untuk menamatkan penantian panjang dalam acara beregu wanita badminton di Sukan SEA apabila pasangan utama negara, Pearly Tan–M. Thinaah melangkah ke pentas akhir edisi Thailand 2025, hari ini.
Pearly–Thinaah mempamerkan ketenangan serta ketahanan mental tinggi untuk menyingkirkan wakil Indonesia, Rachel Allessya Rose–Febi Setianingrum dalam perlawanan separuh akhir yang berlanjutan selama 78 minit di Gimnasium Universiti Thammasat, di sini.
Pasangan negara mencatat kemenangan 21-14, 19-21, 21-16 untuk meneruskan rekod sempurna ke atas gandingan Indonesia itu dengan kelebihan 3-0 dalam pertemuan keseluruhan.
Pada perlawanan akhir esok, Pearly–Thinaah dijadual bertemu satu lagi beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari yang menghuni ranking ke-59 dunia bagi merebut pingat emas.
Malaysia kali terakhir menjulang pingat emas dalam acara beregu wanita pada Sukan SEA 2015 di Singapura, sekali gus menjadikan final di Bangkok sebagai peluang terbaik untuk menamatkan kemarau emas yang berlarutan hampir sedekad.