fb fb fb fb fb

Zubimendi sah sertai Arsenal

Martin Zubimendi sertai Arsenal dengan nilai perpindahan €55 juta / Foto REUTERS

LONDON, 7 Julai - Arsenal mengesahkan pemain pertahanan tengah, Martin Zubimendi telah menyertai kelab berkenaan dengan kontrak jangka panjang, sekali gus memperkukuh posisi penting dalam skuad itu selepas kehilangan Thomas Partey dan Jorginho bulan lalu.

Meskipun butiran kewangan tidak didedahkan, media Britain melaporkan pemain berusia 26 tahun itu mempunyai klausa pelepasan bernilai €60 juta atau (RM305 juta) dalam kontraknya bersama Sociedad yang sepatutnya tamat pada 2027.

Zubimendi menjadi rekrut kedua The Gunners pada jendela perpindahan musim panas ini selepas penjaga gol Kepa Arrizabalaga.

Ketibaan pemain antarabangsa Sepanyol itu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha pengurus Mikel Arteta untuk memperkuatkan skuad yang mahu menamatkan penantian kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak 2003/04.

“Ini adalah detik besar dalam karier saya. Ini perpindahan yang saya impikan dan memang saya mahukan,” kata Zubimendi.

“Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini, anda tahu betapa besarnya kelab ini. Gaya permainan Arsenal sangat sesuai dengan saya. Mereka telah menunjukkan potensi mereka dan yang terbaik masih belum tiba.”

Zubimendi dikenali sebagai pemain pertahanan tengah yang cekap mengatur tempo permainan, bijak membaca pergerakan lawan serta memiliki ketahanan fizikal yang tinggi iaitu kualiti yang sangat diperlukan Arsenal.

Kehadirannya dijangka membolehkan, Declan Rice, diberi peranan besar bersama kapten Martin Ødegaard.

Zubimendi membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024, apabila dimasukkan menggantikan Rodri dalam perlawanan akhir.

Beliau turut menjaringkan gol dalam aksi akhir Liga Negara UEFA baru-baru ini, meskipun Sepanyol tewas kepada Portugal menerusi penentuan penalti.

Dengan ketibaannya diumumkan lebih awal, Zubimendi akan mempunyai masa untuk menyesuaikan diri dan berlatih bersama Arsenal dalam pramusim sebelum musim 2025/26.

Jadual sukar menanti termasuk bertemu Manchester United, Liverpool, Manchester City dan Newcastle United dalam enam perlawanan awal.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD