fb fb fb fb fb

Sabalenka singkir Mertens, mara ke suku akhir Wimbledon

Foto AFP

LONDON, 7 Julai - Aryna Sabalenka mengekalkan penguasaannya ke atas pemain Belgium, Elise Mertens menerusi kemenangan 6-4, 7-6 (7-4) untuk mara ke suku akhir Wimbledon.

Pilihan utama dari Belarus yang memburu gelaran sulung Grand Slam di gelanggang rumput itu turun dengan rekod cemerlang menentang Mertens - menang 10 kali daripada 12 pertemuan, rekod tertingginya menentang mana-mana pemain dalam Jelajah WTA.

Sabalenka yang telah mara ke suku akhir dalam 11 kejohanan Grand Slam terakhir yang disertainya akan berdepan pemain Jerman berusia 37 tahun, Laura Siegemund yang menghuni ranking ke-104 dunia.

Keyakinan semakin meningkat bahawa Sabalenka akhirnya mampu meraih kejuaraan impiannya di Kelab All England.

Siegemund pula mara selepas menamatkan kemaraan luar biasa Solana Sierra dengan menumpaskan pemain Argentina itu, 6-3, 6-2.

Sementara itu, pemain Britain Cameron Norrie mengharungi ujian mental dan fizikal yang hebat daripada pemain Chile berservis kencang, Nicolas Jarry sebelum menang dalam pertarungan lima set, sekali gus mara ke suku akhir.

Norrie, pemain ranking ke-61 dunia kini menjadi satu-satunya wakil tuan rumah yang masih bersaing dalam kejohanan ini. - REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK