BERLIN, 6 Julai - Thomas Müller sepatutnya meneruskan kerjayanya dalam Major League Soccer (MLS) selepas menamatkan 25 tahun bersama Bayern Munich, kata bekas pemain dan jurulatih Bayern, Jürgen Klinsmann.
Menurut Agensi Berita Jerman (dpa), Müller, 35, masih belum memutuskan masa depannya selepas kerjayanya yang penuh dengan trofi di Bayern berakhir pada Sabtu apabila kelab itu tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain pada suku akhir Piala Dunia Kelab di Atlanta.
Müller bermain 10 minit terakhir dalam perlawanan ke-756nya bersama pasukan utama, hampir 17 tahun selepas dia membuat penampilan sulung dalam Bundesliga pada Ogos 2008 di bawah Klinsmann, yang menaikkan beliau daripada skuad simpanan.
Klinsmann, yang telah lama menetap di California dan juga bekas jurulatih pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS), berkata dalam ruangan untuk majalah sukan Kicker bahawa beliau berharap Müller mempertimbangkan MLS.
“Saya berharap beliau akan meneruskan kerjaya untuk beberapa tahun lagi, dan tentunya mempertimbangkan pengembaraan di AS.
Beliau mempunyai segalanya untuk membantu memajukan bola sepak di AS, seperti yang dilakukan Lionel Messi dan Marco Reus,” kata Klinsmann.
Messi kini bermain untuk Inter Miami manakala Reus bersama Los Angeles Galaxy. Los Angeles juga boleh menjadi destinasi Müller melalui Los Angeles FC, yang dilaporkan berminat dengan pemenang Piala Dunia 2014 itu.
“Beliau pasti akan menikmatinya, dan saya berharap jika ia berlaku, beliau akan memilih Los Angeles,” kata Klinsmann.
Sementara itu, Presiden Kehormat Bayern Uli Hoeness melahirkan keraguan terhadap kemungkinan Müller berpindah ke AS.
“Saya sentiasa katakan adalah lebih baik untuk beliau bersara. Tetapi jika beliau benar-benar mahu melakukannya, teruskanlah,” kata Hoeness kepada pemberita di Munich pada Sabtu.
Hoeness bersetuju bahawa kualiti MLS telah meningkat tetapi mengingatkan bahawa “apabila anda sudah bermain dengan Bayern, kemudian bermain di Los Angeles - ia bukan perkara yang sama.”
Müller pada Sabtu berkata beliau “sedar bahawa itu adalah perlawanan terakhir” tetapi belum membuat keputusan.
“Anda perlu memproses semua perkara ini terlebih dahulu. Saya masih dalam mod kerja sepenuhnya. Segala-galanya akan berlaku secara beransur-ansur,” katanya.
Bagaimanapun, satu perkara yang pasti tidak akan berlaku adalah kekal bersama Bayern susulan kecederaan kaki serius yang dialami Jamal Musiala pada Sabtu.
Müller menyifatkan cadangan itu sebagai “tidak wajar” manakala ahli lembaga sukan Bayern, Max Eberl menegaskan “perkara ini sebenarnya tidak ada dalam perancangan kami.”- BERNAMA