HOUSTON, 7 Julai – Mexico merangkul kejuaraan Piala Emas CONCACAF buat kali ke-10 selepas menewaskan musuh tradisi, Amerika Syarikat (AS), 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium NRG, Houston, pada Ahad.
Ketua pasukan Mexico, Edson Alvarez, muncul wira apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-77, sekali gus melengkapkan kebangkitan 'El Tri' selepas ketinggalan seawal minit ke-4.
Kemenangan itu menyaksikan Mexico mempertahankan kejuaraan dan terus unggul sebagai pemilik rekod terbanyak dalam sejarah kejohanan dengan 10 gelaran, tiga lebih daripada AS yang mengumpul tujuh.
"Ia saat yang sangat emosional untuk saya," kata Alvarez, pemain tengah West Ham yang sebelum ini terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan di lokasi sama dalam Copa America tahun lalu.
“Sejak tiba di Houston, saya teringat detik pahit itu. Saya hanya minta kepada tuhan untuk beri saya satu kegembiraan lagi", ujarnya.
Pada perlawanan berkenaan, AS bermula cemerlang apabila pemain pertahanan tengah Chris Richards menanduk masuk sepakan percuma Sebastian Berhalter seawal minit ke-4, menyaksikan bola melantun dari palang dan melepasi garisan gol.
Namun selepas jaringan itu, pasukan bimbingan Mauricio Pochettino yang rata-ratanya dibarisi pemain muda dan kurang berpengalaman, gagal mengekalkan tekanan dan membenarkan Mexico menguasai sebahagian besar babak pertama.
Pemain muda sensasi Mexico berusia 16 tahun, Gilberto Mora, hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-24 tetapi rembatannya ditepis penjaga gol AS, Matt Freese.
Hanya tiga minit selepas itu, Mexico menyamakan kedudukan apabila Marcel Ruiz melorongkan bola cantik kepada penyerang veteran Raul Jimenez, yang merembat kencang ke penjuru gawang.
Jimenez kemudian menyambut jaringan itu dengan mengangkat jersi khas tertera nama dan nombor '20' sebagai penghormatan kepada bekas rakan sepasukan di Wolves, Diogo Jota yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya minggu lalu.
Mexico terus mengasak dan mencipta beberapa peluang lagi, termasuk percubaan Roberto Alvarado dan rembatan Mora yang sekali lagi diselamatkan Freese.
AS hampir kembali mendahului sebelum rehat apabila Alex Freeman menyambar kesilapan penjaga gol Mexico, Angel Malagon, tetapi tandukannya terkena muka penjaga gol itu.
Bersambung babak kedua, Mexico meneruskan dominasi permainan dan sering mengancam gawang AS.
Gol kemenangan akhirnya hadir pada minit ke-77 menerusi sepakan percuma yang diambil Johan Vazquez, lalu disambut Alvarez yang menyudahkan dengan tandukan kencang.
Walaupun jaringan itu pada awalnya dibatalkan kerana offside, semakan VAR menunjukkan Alvarez berada dalam kedudukan sah.
“Kami jelas kecewa,” kata ketua pasukan AS, Tim Ream.
“Kami bermula baik, tapi selepas itu mereka menguasai permainan. Kami hilang ketenangan ketika mendapat bola, dan gagal manfaatkan peluang", katanya lagi.-AFP