fb fb fb fb fb

Zii Jia terlepas peluang pertahan gelaran Terbuka Artik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober -- Pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia terlepas peluang mempertahankan kejuaraan Terbuka Artik 2024 selepas terkandas di suku akhir malam tadi.

Dalam aksi di Energia Areena, Vantaa, Finland, Zii Jia yang juga pemain keempat dunia tewas 15-21, 21-13, 12-21 kepada wakil Jepun, Koki Watanabe dalam perlawanan selama 66 minit.

Keputusan itu menyaksikan Zii Jia kecundang dalam ketiga-tiga pertemuan menentang Watanabe.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan wakil Taiwan, Chang Ching Hui-Yang Ching Tun 21-8, 21-18 dalam masa 32 minit.

Cabaran getir menanti Pearly-Thinaah iaitu pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam misi ke peringkat akhir hari ini.

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula disingkirkan pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan 17-21, 21-16, 17-21. -BERNAMA

Trainee2