fb fb fb fb fb

Ironman Malaysia kembali gegarkan Langkawi

Pengarah Serantau Asia Ironman Group, CG Lim

LANGKAWI, 11 Oktober- Sukan lasak Ironman Malaysia kembali menemui peminat sukan itu Sabtu ini di Langkawi, Kedah.

Kejohanan berprestij itu dianjurkan World Endurance Malaysia Sdn Bhd berjaya menarik lebih 1,800 atlet dari 51 buah negara membabitkan dua pertandingan iaitu Ironman Malaysia 2024 dan Ironman 70.3 Langkawi 2024.

Menurut Pengarah Serantau Asia Ironman Group, CG Lim, seramai 1,044 atlet menyertai Ironman Malaysia 2024 manakala baki 756 atlet pula bersaing dalam Ironman 70.3 Langkawi 2024.

"Terutamanya peserta pro atlet yang kita ada lebih kurang 60 peserta. Paling ramai dalam sejarah Ironman Malaysia sebab kita juga ada bagi hadiah wang tunai lebih kurang AS$100,000 kepada semua pemenang profesional," katanya.

Beliau ditemui selepas sesi pengenalan atlet professional Ironman di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi- LADA; Datuk Haslina Abdul Hamid.

Sementara itu, seorang atlet professional Fernando Toldi dari Brazil, teruja kerana ini merupakan kali pertama beliau menyertai Ironman Malaysia.

Ujar beliau, cuaca panas dan lembab merupakan sebahagian daripada cabaran yang perlu ditempuhinya dalam kejohanan ini.

Ironman Malaysia 2024 membabitkan tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180 kilometer dan berlari sejauh 42.2 kilometer.

Manakala Ironman 70.3 Langkawi juga membabitkan tiga disiplin namun jaraknya lebih dekat iaitu berenang 1.9 kilometer, berbasikal 90 kilometer dan berlari sejauh 21.1 kilometer.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE