PUTRAJAYA, 10 Jun - Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia sah tidak akan menyertai Program Road To Gold (RTG), sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata RTG sentiasa menyokong atlet profesional dan bersedia memberi peluang kepada Zii Jia untuk menyertai program itu, sekiranya beliau berubah pendirian.
" Zii Jia merupakan salah seorang atlet yang telah ditawarkan untuk menyertai RTG, , namun beliau membuat keputusan untuk tidak menyertainya atas alasan tersendiri. Sehubungan itu, Jawatankuasa RTG menghormati keputusannya dan sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk beliau," katanya pada sidang media RTG di sini, hari ini.
Hannah turut menyatakan penghargaan kepada Zii Jia yang ditemui baru-baru ini atas pandangan yang dikongsikan mengenai usaha menambah baik sokongan kepada pemain profesional.
Terdahulu, Zii Jia merupakan salah seorang daripada 16 atlet yang telah disenarai pendek di bawah RTG pada April lalu.
Sementara itu, beregu profesional lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, serta beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, masih belum mengesahkan penyertaan mereka dalam program tersebut.
Ini kerana satu pertemuan terakhir masih perlu diadakan bersama mereka bagi membincangkan beberapa perkara yang dibangkitkan mengenai program berkenaan.