fb fb fb fb fb

De Bruyne selamatkan maruah Belgium

Bintang Belgium, Kevin De Bryune / Foto REUTERS

BRUSSELS, 10 Jun-Kevin De Bruyne menjadi penyelamat Belgium apabila menjaringkan gol kemenangan untuk menewaskan Wales 4-3, selepas mensia-siakan kelebihan tiga gol dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada Isnin.

Gol daripada Romelu Lukaku, Youri Tielemans dan Jeremy Doku dalam tempoh 30 minit pertama memberikan Belgium permulaan yang sempurna.

Namun, Wales bangkit semula menerusi sepakan penalti Harry Wilson, jaringan Sorba Thomas dan tandukan Brennan Johnson, sekali gus mengejutkan pasukan yang kini berada di tangga kelapan dunia itu.

De Bruyne, muncul wira dengan menyudahkan hantaran lintang Tielemans pada minit ke-88.

Kekalahan itu merupakan yang pertama buat Craig Bellamy selaku pengurus baharu Wales, sekali gus menamatkan rentetan sembilan perlawanan tanpa kalah pasukan tersebut hanya satu perlawanan kurang daripada rekod kebangsaan.

Wales kini menduduki tangga kedua dalam Kumpulan J, satu mata di belakang Macedonia Utara dan tiga mata di depan Belgium, yang mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Hanya pasukan di tempat pertama akan layak secara automatik, manakala naib juara akan ke pusingan play-off.

Selepas seri 1-1 menentang Macedonia Utara pada Jumaat lalu dalam perlawanan pembukaan kempen kelayakan, jurulatih Belgium, Rudi Garcia, menyenaraikan semula tiga bintang Liga Perdana Inggeris iaitu Leandro Trossard, Amadou Onana dan Youri Tielemans dan pasukan berkenaan terus beraksi cemerlang.

Pada perlawanan berkenaan, rembatan De Bruyne terkena tangan Brennan Johnson di dalam kotak penalti, memberi peluang kepada Lukaku untuk membuka jaringan menerusi sepakan penalti sekali gus gol antarabangsa ke-89nya

Tielemans menggandakan jaringan hasil gerakan berpasukan menarik apabila menyudahkan hantaran rendah Maxime De Cuyper.

Aksi solo menakjubkan oleh Jeremy Doku melengkapkan separuh masa pertama dengan kelebihan tiga gol buat tuan rumah.

Namun, penalti Wilson pada masa tambahan separuh masa pertama mengurangkan defisit, selepas penjaga gol Belgium, Matz Sels, dikenakan hukuman kerana perlanggaran dengan Chris Mepham.

Enam minit selepas rehat, hantaran cantik Wilson menemui Thomas yang tenang menyudahkan peluang bagi gol kedua Wales.

Tandukan Brennan Johnson menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-69, tetapi mereka gagal bertahan akibat serangan bertali arus Belgium.

Lukaku sempat menjaringkan gol kedua, namun ia dibatalkan selepas semakan panjang oleh VAR mendapati bola keluar padang sebelum itu.

Gol berkenaan tidak mematahkan hasrat belgium untuk mencari kemenangan apabila beberapa minit kemudian, hantaran lintang Tielemans menemui De Bruyne yang tidak dikawal untuk menyempurnakan voli dari tiang jauh dan memberikan tiga mata penuh buat Belgium.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD