REGGIO EMILIA, 10 Jun – Luciano Spalletti menamatkan tugasnya sebagai pengendali Itali dengan kemenangan 2-0 ke atas Moldova dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, meskipun persembahan hambar skuad Azzurri terus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Gol daripada Giacomo Raspadori dan Andrea Cambiaso cukup untuk memastikan tiga mata penuh buat Itali dalam perlawanan di Stadio Citta del Tricolore.
Spalletti, mengejutkan ramai penyokong apabila mengumumkan pemecatannya sendiri pada Ahad selepas kekalahan memalukan 0-3 di tangan Norway, masih diberi tanggungjawab untuk mengendalikan satu perlawanan terakhir bersama Itali.
“Saya minta mereka (pemain) untuk benarkan saya pergi dengan kemenangan,” kata Spalletti kepada Sky Sport sebelum sepak mula.
Namun begitu, kemenangan itu gagal menutup persembahan yang kurang meyakinkan.
Itali hanya mampu membuka jaringan lima minit sebelum tamat babak pertama apabila tandukan pemain Moldova gagal dikeluarkan dengan kemas dan jatuh kepada Raspadori, yang pantas melepaskan rembatan leret ke penjuru gawang.
Moldova hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan jarak jauh Oleg Reabciuk yang ditepis Gianluigi Donnarumma, sebelum percubaan Artur Ionita tersasar dan tandukan Daniel Dumbravanu pula dikeluarkan dari garisan oleh Federico Dimarco.
Gol kedua hadir lima minit selepas rehat apabila hantaran lintang rendah Riccardo Orsolini ditampan Davide Frattesi ke laluan Cambiaso yang mudah menewaskan penjaga gol Moldova, Cristian Avram.
Namun dua jaringan itu gagal menyuntik semangat buat skuad Itali yang masih dibayangi permainan perlahan dan kurang kreativiti.
Frattesi sekali lagi mensia-siakan peluang terbaik apabila rembatan satu lawan satu diselamatkan oleh Avram.
“Kami bergelut sekali lagi malam ini,” akui Spalletti kepada Rai Sport.
“Sebagai jurulatih pasukan kebangsaan, anda tidak boleh beralasan kerana andalah yang memilih pemain. Jika mereka tidak beraksi baik, andalah yang bertanggungjawab untuk menukar mereka", katanya.
Nama Spalletti turut dikecam oleh penyokong apabila diumumkan sebelum perlawanan, dan suasana stadium yang muram menggambarkan tekanan yang dihadapi pasukan.
Pengganti Spalletti dijangka diumumkan dalam masa terdekat, dengan nama Claudio Ranieri disebut-sebut sebagai calon utama untuk mengemudi Itali dalam baki kempen kelayakan Piala Dunia.-REUTERS.