fb fb fb fb fb

Polis perketat keselamatan menjelang aksi Malaysia-Vietnam di Bukit Jalil

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan kawalan keselamatan sempena perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam yang dijadual berlangsung malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Rizduan Khalid berkata, PDRM telah membuat persiapan rapi melibatkan pelbagai jabatan dan unit khas bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.

“Kami akan melaksanakan pemeriksaan ketat terhadap semua penyokong termasuk pemeriksaan badan dan beg, sama ada sebelum mahupun selepas memasuki stadium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa penyokong tidak dibenarkan membawa masuk sebarang barangan terlarang ke dalam stadium.

“Antara barangan yang dilarang termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, alat laser, objek tajam seperti kayu atau besi, senjata berbahaya termasuk parang, serta minuman keras,” katanya.

Tambahnya lagi, barangan lain seperti botol air, ais ketul, pemetik api, rokok dan rokok elektronik seperti vape juga tidak dibenarkan, selain barangan seperti payung, tongkat, bank kuasa, dron, pembesar suara dan gendang tanpa kebenaran rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagi kelancaran trafik, Supt Rizduan menyarankan agar orang ramai menggunakan pengangkutan awam dan mengelakkan kawasan sekitar Bukit Jalil sekiranya tiada urusan berkaitan perlawanan.

“Kami ingin mengingatkan semua pemandu supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan berdekatan laluan keluar masuk stadium.

"Mana-mana kenderaan yang menghalang lalu lintas akan dikenakan tindakan saman dan ditunda tanpa kompromi,” tegasnya.

Beliau turut meminta agar penyokong mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas serta berhemah dan bertolak ansur ketika memandu ke lokasi.

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur hanya menyelaras pergerakan lalu lintas di sekitar stadium dan tidak terlibat dalam aspek keselamatan dalaman di kawasan acara,” ujarnya.

Dalam masa sama, pihak polis memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan rusuhan, provokasi melampau atau kekacauan sepanjang perlawanan berlangsung.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau mengganggu ketenteraman awam,” kata Supt Rizduan.

Perlawanan yang dijangka bermula pukul 9.00 malam itu bakal menarik kehadiran lebih 60,000 penyokong tempatan dan pelawat. Bagi mengelakkan kesesakan, pintu stadium akan dibuka seawal jam 5.30 petang.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan keselamatan atau lalu lintas boleh diajukan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Cheras di 03-9284 5050 / 5051, atau dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Perlawanan menentang Vietnam malam ini dijangka menjadi penentu hala tuju skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.

Skuad Harimau Malaya kini menduduki tangga kedua kumpulan F berkongsi tiga mata bersama Vietnam namun dibezakan dengan jaringan gol.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD