fb fb fb fb fb

Argentina tidak lagi bergantung kepada Messi – Scaloni

Pengurus Argentina, Lionel Scaloni (kanan) bersama Lionel Messi (kiri) semasa sesi latihan pasukan berkenaan / Foto REUTERS

BUENOS AIRES, 10 Jun – Pengurus Argentina, Lionel Scaloni, berkata pasukannya kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kehadiran Lionel Messi dan mampu mengekalkan prestasi konsisten tanpa perlu mengubah barisan utama apabila kapten berusia 37 tahun itu tidak dapat beraksi.

Messi, yang telah menjaringkan 112 gol dalam 192 penampilan bersama skuad senior sejak penampilan pertama pada 2005, pernah membantu Argentina memenangi Piala Dunia 2022, dua kejuaraan Copa America, dan pingat emas Olimpik 2008 di Beijing.

Menjelang aksi kelayakan Piala Dunia menentang Colombia pada Rabu ini Scaloni menjelaskan bahawa pasukannya sudah matang dalam aspek taktikal.

“Kini pasukan mampu bermain dengan taktikal sama. Sama ada dengan atau tanpa Messi.

"Ia berbeza dengan dahulu apabila kami terpaksa mengubah posisi pemain tertentu,” kata Scaloni dalam sidang media di Buenos Aires.

“Sekarang kami tidak perlu lakukan itu, dan pasukan tetap berfungsi dengan baik dan itu satu perkara positif", katanya.

Messi tidak beraksi dalam dua perlawanan kelayakan Mac lalu akibat kecederaan, tetapi Argentina menang 1-0 ke atas Uruguay dan membelasah Brazil 4-1, sekali gus mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Messi kembali menyertai skuad bulan ini dan turun sebagai pemain gantian ketika Argentina menewaskan Chile 1-0 minggu lalu.

Argentina akan melayan kunjungan Colombia yang kini berada di tempat keenam iaitu slot terakhir kelayakan automatik dan mahu melebarkan jurang dengan Venezuela di tempat ketujuh.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu dalam kelayakan Piala Dunia pada September menyaksikan Colombia menang 2-1.

“Colombia sebuah pasukan hebat, dengan pemain berkualiti dan gaya permainan yang mampu beri masalah kepada kami” ujar Scaloni.

“Kami dah buat analisis dan tunjukkan kekuatan mereka kepada pemain. Kami juga tahu apa yang boleh kami manfaatkan.

"Ia pasti jadi perlawanan menarik, lebih-lebih lagi kerana kami bermain di tempat sendiri, dan penyokong kami dapat saksikan bintang-bintang ini", jelasnya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD