SAO PAULO, 10 Jun – Ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti, menyatakan harapannya untuk meraih kemenangan menentang Paraguay pada perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan pada Selasa.
Jurulatih berpengalaman dari Itali itu, yang baru dilantik bulan lalu, kini berdepan tekanan besar untuk memulihkan prestasi skuad Brazil yang pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak lima kali.
Brazil kini berada di tempat keempat dengan 22 mata dalam kedudukan kelayakan benua, dan masih berpeluang untuk layak secara automatik ke Piala Dunia tahun hadapan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada iaitu dengan enam pasukan teratas akan layak secara terus.
"Kami akan cuba bermain dengan intensiti tinggi, bermain baik, dan seberapa banyak mungkin menyerang, sambil mengambil kira kekuatan pasukan lawan, kerana Paraguay bermain sangat baik dan merupakan pasukan yang kukuh," kata Ancelotti kepada media dalam sidang akhbar pada Isnin.
Perlawanan akan berlangsung di Stadium Neo Química Arena, Sao Paulo, dan Ancelotti menyifatkan kemenangan menentang Paraguay sebagai hadiah hari jadi paling bermakna.
Penampilan kali pertama Ancelotti sebagai pengendali Brazil minggu lalu menyaksikan keputusan mengecewakan, apabila skuad bimbingannya sekadar seri tanpa jaringan menentang Ecuador di Guayaquil. - REUTERS