fb fb fb fb fb

Sivasangari muka baharu sertai RTG

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 JUN - Atlet skuasy negara, S. Sivasangari, secara rasmi disenaraikan dalam Program Road to Gold (RTG) buat pertama kali.

Sekali gus menjadi atlet skuasy pertama negara menyertai RTG dalam memburu pingat di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada sidang media RTG hari ini.

Ini susulan pencapaian cemerlang beliau yang kini berada di ranking kelapan dunia serta memenuhi kriteria program tersebut, iaitu berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Menurut Sivasangari, program ini sangat membantu khususnya dari segi sokongan kewangan dan pembangunan diri.

"Sudah tentu, untuk sukan skuasy, seperti yang kita tahu ia baharu sahaja dimasukkan ke dalam temasya LA28. Bagi saya, menyertai program ini sangat membantu kerana saya berpangkalan di luar negara. Ia banyak membantu dari segi sokongan kewangan terutamanya dengan berada dalam RTG.

"Kami ada seorang lagi pemain, Ng Eain Yow, yang berada dalam program ‘Fast Track’ dan harap dia dapat menyertai kami dalam RTG tidak lama lagi. Sudah tentu kami semua sedang bekerja keras ke arah LA28 dan berada dalam program ini akan membantu kami lebih jauh dalam perkara yang perlu kami tingkatkan," katanya pada sidang media program RTG di sini, hari ini.

Sementara itu, beberapa atlet lain yang menyertai RTG antaranya pasangan beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia - Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong - Tee Kai Wun, serta beregu wanita negara, Pearly Tan - M. Thinaah.

Selain beregu campuran, Chen Tang Jie - Toh Ee Wei.

Tidak hanya dalam arena badminton, jaguh sukan berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, turut diberi kepercayaan menyertai RTG.

Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan, pula disenaraikan sebagai antara atlet utama yang dijangka menyumbang kejayaan kepada negara pada temasya sukan tersebut.

Manakala, seramai empat atlet menyertai program 'Fast Track' iaitu Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil dipilih mewakili sukan memanah.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI