KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memperoleh tuah apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir Terbuka Denmark, tanpa bertanding, hari ini.
Ia selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi satu kenyataan ringkas memaklumkan lawannya, Viktor Axelsen terpaksa menarik diri susulan kecederaan di kaki kirinya.
"Pilihan utama Viktor Axelsen menarik diri daripada Terbuka Denmark 2023 keranana kecederaan pada kaki kirinya. Lawannya di pusingan 16, Lee Zii Jia mara ke suku akhir,” menurut BWF.
Dalam pada itu, Axelsen, yang juga pemain nombor satu dunia, menerusi kenyataan sama, memaklumkan kekecewaannya tidak dapat beraksi di hadapan penontonnya sendiri.
"Adalah tidak selamat bagi saya untuk bermain. Saya berharap untuk memulakan rehabilitasi dengan segera dan berkesan supaya dapat kembali ke gelanggang secepat mungkin," katanya.
Menanti Zii Jia pada suku akhir esok ialah pemain Jepun, Kenta Nishimoto, yang menyingkirkan pemain Taiwan, Chou Tien Chen 10-21, 21-19, 21-14, pada pusingan kedua, malam ini. - BERNAMA