IPOH, 20 Oktober- Juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan apabila membenam cabaran Perak FC 4-1 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023.
Pada perlawanan yang berlangsung di stadium Perak itu, JDT tidak menunggu lama bagi berada di depan seawal minit ke- 7 perlawanan menerusi pemain import Oscar Aribas.
Bermain di hadapan penyokong sendiri, Perak FC mendapat peluang bagi menyamakan kedudukan, namun hampa selepas tandukan pemain import dari Korea Selatan, Seo Seonung berjaya ditepis penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.
JDT terus melebarkan kedudukan menerusi Arif Aiman pada minit ke-13 menerusi lambungan cantik dari sudut sukar.
Pasukan Perak yang tidak berputus asa terus menggandakan asakan bagi mencari gol dan hampir-hampir menjaringkan gol menerusi percubaan Luka Milunovic pada minit ke-28 yang berjaya diselamatkan penjaga gol nombor satu negara, Ahmad Syihan Hazmi.
Gol ketiga JDT hadir pada minit ke-71 hasil tandukan bekas pemain Perak FC, Shahrul Saad berpunca sepakan penjuru.
Perak akhirnya mendapat gol saguhati menerusi ketua pasukan, Luciano Guaycochea pada minit ke-76.
Nazmi Faiz Mansor kemudian memadam sisa kebangkitan Perak FC dengan jaringan keempat pada minit ke-81 bagi menjadikan kedudukan akhir 4-1.
Sementara itu, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah mengakui kekurangan pengalaman beraksi di peringkat tertinggi menyebabkan pasukannya tewas, selain beberapa kesilapan mudah yang dilakukan para pemainnya.
"Walaupun, mereka (pemain Perak) beraksi kali pertama, mereka mengikut arahan dan kami sentiasa menyerang bagi mencari gol.
"Disebabkan leka, barisan pertahanan kita telah terdedah dan memudahkan lawan menjaringkan gol", katanya yang ditemui pada sidang media selepas perlawanan.
Dalam pada itu, jurulatih JDT, Esteban Solari menyifatkan kemenangan tersebut merupakan hasil kerja keras para pemainnya sepanjang perlawanan tersebut.
"Hari ini kami berjaya menunjukkan semangat juang tinggi dan kerja keras para pemain.
"Menentang Perak sangat sukar. Mereka memberikan tekanan pada awal permainan dan melettakkan kami di situasi yang sukar", kata Solari di sini.
Keputusan 4-1 menjadi bekalan selesa buat JDT yang bakal melayani Perak FC pada separuh akhir kedua, 2 November depan.