KUALA LUMPUR, 3 November- Penganjuran bersama Piala Dunia FIFA 2034 oleh negara-negara ASEAN dilihat sebagai peluang penting untuk memperkukuh perpaduan serantau selain membina legasi bola sepak jangka panjang.
Menurut Ketua Pusat Pengajian Sains Sukan & Rekreasi UiTM Shah Alam, Muhammad Sufyan Mohamad Zaki, Malaysia perlu memainkan peranan sebagai pusat penyelarasan utama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) bersama FIFA.
"Justeru, cabaran utamanya adalah untuk melihat bagaimana Malaysia boleh berperanan sebagai hab atau pusat penyelarasan bagi memastikan semua negara ASEAN berganding bahu dalam menjayakan inisiatif yang digariskan oleh FIFA," kata Muhammad Sufyan kepada pemberita, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan projek besar tersebut bukan sahaja bergantung kepada aspek teknikal atau kewangan tetapi lebih kepada integriti, keselamatan dan pembangunan pendidikan sukan di seluruh rantau ASEAN.
"Isu integriti ini adalah bagaimana kita dapat membangunkan program yang lestari merangkumi perancangan jangka panjang dan pendek. Program ini memerlukan kerjasama padu semua negara anggota.
Dalam aspek pendidikan, Malaysia berhasrat untuk berkongsi kepakaran dengan negara-negara yang mempunyai standard pendidikan yang tinggi dan seterusnya, mencari jalan untuk meningkatkan tahap negara-negara lain ke standard yang sama," tambahnya.
Jelas beliau, legasi sebenar bidaan Piala Dunia 2034 ialah memastikan negara ASEAN akhirnya mampu bersaing di pentas antarabangsa, sekali gus menjayakan sebuah visi yang melangkaui diplomasi sukan dan dapat menyatukan rantau ini melalui semangat bola sepak.