KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Lee Zii Jia naik ke ranking keempat dunia, dalam ranking terbaharu pemain perseorangan lelaki yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kedudukan terbaharu menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu mendaki dua anak tangga daripada kedudukan keenam sebelum ini.
Biarpun tersingkir awal di Terbuka Jepun baru-baru ini, pemain berusia 26 tahun itu mencatat peningkatan ranking susulan prestasi positif termasuk merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 di Paris awal bulan ini.
Zii Jia mengumpul 83,716 mata untuk memintas dua lagi pemain iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dan Anders Antonsen dari Denmark.
Kejayaan tersebut menyaksikan juara Terbuka Thailand itu kembali ke dalam kelompok empat pemain terbaik dunia dengan kali terakhir menghuni tangga itu pada 23 April 2023.
Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah pula naik satu anak tangga apabila menduduki ranking kesembilan dunia.
Satu lagi pemenang pingat gangsa Olimpik Paris, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di kedudukan ketiga dunia manakala beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal di kedudukan kesembilan.