KUALA LUMPUR, 11 Julai - Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia berharap dapat menyesuaikan diri secepat mungkin dengan corak latihan diterapkan jurulatih baharunya Wong Tat Meng.
Jelasnya, perkara itu penting dalam persiapan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Zii Jia, dia optimis mampu membina keserasian yang istimewa dengan jurulatih berpengalaman tersebut.
Selain itu, dia turut menyimpan hasrat untuk berjuang bersama-sama jurulatih baharunya itu demi meraih kejayaan di temasya berprestij itu.
Zii Jia yang kini berada di tangga ke-17 dunia telah memulakan latihan bersama Tat Meng awal bulan ini.
Sebelum ini, pemain kelahiran Kedah itu dilaporkan mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada menyertai kejohanan bagi mendapatkan semula motivasi, susulan prestasi mengecewakan kebelakangan ini.
Dalam pada itu, pasangan beregu campuran negara,Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berhasrat meraih kejayaan pada kejohanan Terbuka Korea Selatan di Seoul, 18 Julai ini.
Menurut Toh Ee Wei, mereka akan memperaga persembahan terbaik pada kejohanan berkenaan.
"Ketika latihan, kami memberi 100 peratus tumpuan.
"Kami akan buat yang terbaik pada kejohanan Terbuka Korea nanti", katanya ketika ditemui pemberita.
Ketika ini, pasangan campuran itu berada di ranking ke-14 dunia.
(Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia)