fb fb fb fb fb

Zii Jia bakal terima bayaran 'hak imej' untuk Piala Thomas

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 13 April- Penyertaan pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dalam skuad Piala Thomas negara memerlukan kos kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan bayaran ‘hak imej' kepada pemain tersebut.

Team LZJ, dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu dengan menyatakan hak imej adalah aspek penting bagi seorang atlet profesional.

“Kami menghargai kepentingan hak imej untuk kehidupan seorang atlet profesional yang bebas daripada naungan persatuan. Kami sangat gembira kerana BAM menyedari perkara ini dan menyokong kewujudan atlet profesional.

“Adalah harapan kami agar kita semua dapat melihat ini sebagai penambahbaikan sukan ini bukan sahaja untuk kita tetapi untuk atlet profesional mewakili negara pada masa hadapan,” menurut pasukan itu.

Team LZJ juga memaklumkan hasrat pemain ranking ke-11 dunia itu untuk menyarung jersi negara pada kempen Piala Thomas  di Chengdu, China dari 28 April hingga 5 Mei ini tidak pernah dipertikaikan.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai berkata pengumuman skuad Piala Thomas terpaksa mengambil sedikit masa berikutan perbincangan dengan pihak Zii Jia mengenai ‘pampasan’ untuk mewakili skuad negara.

Zii Jia, yang meninggalkan BAM pada Januari 2022, adalah pemain yang ditaja oleh Victor iaitu pesaing kepada Yonex yang menjadi salah satu penaja utama kepada BAM.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM