KUALA LUMPUR, 12 April- Dua pasangan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani bakal membuat perhitungan untuk menentukan slot ke pusingan akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024, pada esok.
Aksi yang berlangsung hari ini di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China itu menyaksikan kedua-dua pasangan itu mengesahkan kemaraan ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing.
Aaron Chia-Wooi Yik selaku pilihan keempat kejohanan mudah menundukkan pasangan tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, 21-14 dan 21-15, hanya dalam tempoh 30 minit.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Aaron-Wooi Yik ke atas Yu Chen-Xuan Yi selepas turut meraih keputusan sama di suku akhir Terbuka India, Januari lalu.
Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzudin menundukkan lawan dari Taiwan, yang juga pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2022, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Aksi yang diheret hingga ke set penentuan itu menyebelahi pasangan negara dengan kemenangan 19-21, 21-19 dan 21-19.
Pasangan beregu negara bakal berdepan gandingan dari Indonesia (Fajar Alfian-Rian Ardianto) atau China (Liang Wei Kang-Wang Chang) untuk slot akhir BAC 2024.
Dalam pada itu, pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia terkandas di pusingan suku akhir.
Zii Jia yang tewas kepada wakil Indonesia, Jonatan Christie atau lebih dikenali sebagai Jojo, hanya mengutip 17 mata menerusi perlawanan straight sets, 11-21 dan 6-21.
Pemain yang berada di ranking ke-11 dunia itu mempamerkan aksi yang kurang memuaskan dan tidak bertenaga sekali gus dimanfaatkan Jojo untuk setiap mata perlawanan.
Kedua-dua pemain telah bertemu sebanyak 10 kali dan Jojo berjaya mengikat kedudukan 'head-to-head', 5-5.
Terdahulu, Zii Jia berjaya menewaskan wakil India, Priyanshu Rajawat dan wakil Taiwan, Chou Tien Chen sebelum melangkah ke suku akhir.