fb fb fb fb fb

Zidane tidak sabar bimbing skuad kebangsaan Perancis

Zinedine Zidane/ AFP

PARIS, 28 Mei- Legenda bola sepak, Zinedine Zidane tidak sabar menyahut cabaran untuk mengambil alih jawatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Perancis sambil menyatakan bahawa tugas itu adalah satu 'impian'.

Menurut laporan media Perancis, Zidane disebut-sebut sebagai calon utama sebagai ketua jurulatih Les Blues selepas Piala Dunia 2026.

Zidane, 52, berkata demikian dalam satu acara yang dianjurkan oleh penaja lamanya, Adidas.

"Saya rasa saya layak untuk mengendalikan Perancis, pasukan yang saya pernah wakili dan habiskan hampir 12, 13, 14 tahun sebagai pemain.

"Sudah tentu ia satu impian. Saya tidak sabar menantikannya," kata Zidane, bekas kapten Les Bleus yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1998.

Ketika ini, skuad Perancis dibimbing rakan sepasukan Zidane ketika dahulu, Didier Deschamps.

Deschamps yang mengendalikan Perancis sejak 2012 telah membawa Les Bleus menjuarai Piala Dunia 2018.

Namun, beliau mengumumkan akan menamatkan tugasnya selepas Piala Dunia 2026 yang diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sebagai jurulatih, Zidane pernah membawa Real Madrid menjulang tiga gelaran Liga Juara Eropah dan dua kejuaraan La Liga.

Namun, beliau belum kembali ke dunia kejurulatihan sejak meninggalkan Real buat kali kedua pada 2021. - AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello