fb fb fb fb fb

Yamal tandatangan kontrak baharu dengan Barca sehingga 2031

Lamine Yamal - Foto AFP

BARCELONA, 28 Mei- Bintang muda Barcelona, ​​Lamine Yamal menandatangani kontrak baharu sehingga 2031 bersama kelab gergasi Sepanyol itu selepas mengharungi musim yang menakjubkan.

Pemain sayap berusia 17 tahun itu sudah menjadi antara tonggak utama kelab itu dan membantu pasukan meraih treble domestik iaitu La Liga, Copa del Rey dan Piala Super Sepanyol.

Skuad Catalan dalam satu kenyataan menyebut, pembaharuan kontrak itu adalah manifestasi terhadap kemantapan projek Barca.

"Barcelona dan Lamine Yamal telah mencapai perjanjian untuk melanjutkan kontrak sehingga 30 Jun 2031.

"Kemunculannya ke kancah bola sepak dunia adalah seperti beberapa individu lain dan ia bermula dengan penampilan sulungnya pada 29 April 2023 ketika usia 15 tahun," menurut kenyataan itu.

Media Sepanyol melaporkan perjanjian baharu itu menjadikan dia antara pemain dengan bayaran gaji tertinggi Barcelona.

Selepas memenangi Euro 2024 bersama Sepanyol, Yamal menjaringkan 18 gol dan melakukan 25 bantuan gol dalam 55 perlawanan melibatkan semua kejohanan.

Kemahiran menggelecek dan kepantasannya menyumbang kepada 102 gol Barca dalam saingan liga musim ini.

Yamal, yang datang melalui akademi remaja La Masia yang terkenal di kelab itu sering dibandingkan dengan pemain hebat Barcelona sepanjang zaman, ​​Lionel Messi

Beliau membuat penampilan pertamanya pada 2023 di bawah Xavi Hernandez pada usia 15 tahun.

Menjelang akhir kempen 2023-2024, beliau muncul sebagai penyerang utama pasukan

Yamal mempamerkan dua aksi cemerlang separuh akhir Liga Juara Eropah menentang Inter Milan namun pasukannya tewas dengan agregat 6-7.

“Saya akan menunaikan janji saya dan saya akan membawa (trofi Liga Juara Eropah) ke Barcelona, ​​kami tidak akan berhenti sehingga kami mendapatnya,” ikrar Yamal selepas perlawanan terbabit.

Walaupun masih muda, pemain sayap itu sudah bermain lebih 100 kali untuk Barcelona.

Yamal, yang berusia 18 tahun pada Julai ini, mengikuti rakan sepasukan Raphinha dan ketua jurulatih Hansi Flick menandatangani lanjutan kontrak.

Media Sepanyol melaporkan kontraknya termasuk pelbagai bonus berdasarkan pencapaian, termasuk jika memenangi Ballon d'Or, selain kenaikan gaji yang ketara.

Yamal adalah calon untuk memenangi trofi pemain terbaik dunia tahun ini. - AFP

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello