fb fb fb fb fb

Amorim manfaat aksi di KL bentuk DNA baharu Red Devils

Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Ketua jurulatih Manchester United, Ruben Amorim menegaskan pertemuan menentang ASEAN All-Stars dalam aksi Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh pasukan menjelang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali berusia 40 tahun dari Portugal yang baru dilantik musim ini menegaskan setiap perlawanan termasuk aksi pramusim dan persahabatan dianggap penting dalam fasa pembangunan semula kelab.

“Kami masih banyak yang perlu diperbaiki. Jadi, setiap perlawanan akan dimanfaatkan untuk memperkukuh pasukan,” katanya dalam sidang media praperlawanan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa hampir keseluruhan skuad utama hadir ke Kuala Lumpur, kecuali pemain pertahanan, Noussair Mazraoui yang mengalami kecederaan pada Ahad lepas.

Menurut Amorim, beberapa pemain muda turut dibawa bersama sebagai persiapan jangka panjang, selain memberi mereka pengalaman merasai suasana perlawanan mewakili kelab gergasi England itu.

“Kami mahu mereka faham apa ertinya menyarung jersi Manchester United. Justeru, perlawanan ini sangat penting buat kami walaupun bersifat persahabatan,” katanya.

Dalam masa sama, Amorim melahirkan rasa terharu atas sambutan luar biasa yang diterima sejak skuad tiba di Malaysia, serta sokongan padu yang terus diberikan oleh penyokong, meskipun kelab itu melalui musim yang mencabar sebelum ini.

Aksi menentang ASEAN All-Stars dijangka menjadi medan penting buat Amorim menguji taktikal baharu dan memberi ruang kepada pemain muda menonjolkan potensi, sebagai sebahagian usaha membina semula momentum pasukan menjelang musim 2025/2026.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD