KUALA LUMPUR, 27 Mei – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie memulakan kempen Terbuka Singapura 2025 dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan mudah pada pusingan pertama, hari ini.
Pasangan pilihan utama kejohanan itu menewaskan gandingan Ukraine, Oleksii Titov–Yevheniia Kantemyr 21-11, 21-8 dalam masa hanya 21 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya selepas mereka tersingkir awal di Masters Malaysia minggu lalu, menyebabkan Soon Huat–Shevon jatuh dua anak tangga dalam ranking dunia dan kehilangan status selaku beregu campuran nombor satu negara.
Pasangan ranking kelima dunia itu menyasarkan kemaraan ke peringkat suku akhir bagi menebus kekecewaan sebelum ini.
Mereka dijadual berdepan sama ada pasangan Denmark, Mads Vestergaard–Christine Busch atau gandingan China, Feng Yan Zhe–Wei Ya Xin pada pusingan kedua, Khamis ini.
Untuk rekod, Soon Huat–Shevon pernah merangkul kejuaraan Terbuka Singapura pada edisi 2018.
Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Chen Tan Jie–Toh Ee Wei turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat, Presly Smith–Jennie Gai.
Pasangan ranking keempat dunia itu mencatat kemenangan 21-18, 21-15 dalam tempoh 31 minit.