fb fb fb fb fb

Bintang 'Red Devils' curi tumpuan di TRX

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Mei-Hampir 500 penyokong tegar Manchester United membanjiri The Exchange TRX hari ini bagi melihat bintang kesayangan mereka dengan lebih dekat menjelang perlawanan menentang ASEAN All-Stars dalam Maybank Challenge Cup malam esok.

Suasana pusat beli-belah bertukar gegak gempita apabila para peminat tidak melepaskan peluang bergambar, mendapatkan tandatangan dan bersorak sambil menyanyikan lagu ikonik kelab, ‘Glory Glory Manchester United’.

Antara bintang sensasi yang hadir termasuk kapten pasukan, Bruno Fernandes, Kobbie Mainoo, Manuel Ugarte, Amad Diallo, Harry Amass dan Alejandro Garnacho.

Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI sebanyak dua kali, 3-2 dan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Terdahulu, pasukan gergasi England itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 6.30 petang semalam sejurus tamat perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/2024 dengan kemenangan ke atas Aston Villa 2-0 kelmarin.

Juara EPL 13 kali bakal menamatkan pascamusim di Asia dengan kunjungan ke Hong Kong untuk menentang pasukan negara itu pada 30 Mei ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD