KUALA LUMPUR, 27 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini berkesempatan bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada, dan pengendali pasukan, Ruben Amorim, sempena perlawanan persahabatan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars yang dijadualkan berlangsung esok.
Pertemuan itu turut dihadiri oleh barisan pemain dan pengurusan pasukan ASEAN All-Stars yang diketuai Ketua jurulatih Kim Sang Sik, pengendali pasukan Vietnam yang membawa skuad itu menjuarai Kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 baru-baru ini.
Dalam satu hantaran di Facebook rasminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan selamat berjaya kepada kedua-dua pasukan dan berharap perlawanan yang bakal berlangsung akan mengeratkan lagi hubungan serantau dan antarabangsa melalui sukan.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Ahli Majlis FIFA, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth, serta Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menerima jaket rasmi kelab Manchester United serta jersi ASEAN All-Stars yang ditandatangani oleh semua pemain sebagai cenderamata kenangan.
Manchester United yang tiba di Malaysia semalam, hadir dengan barisan pemain utama termasuk Bruno Fernandes, Casemiro, Harry Maguire dan Rasmus Højlund.
Perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 8.45 malam esok, dengan lebih 60,000 tiket telah terjual setakat ini.
Beberapa pemimpin ASEAN juga dijangka hadir bagi memberi sokongan dan menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut.