KUALA LUMPUR, 27 Mei – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta sejarah baharu apabila diumumkan sebagai gandingan nombor satu dunia dalam ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.
Pasangan berkenaan mengumpul 91,090 mata, mengatasi pencabar terdekat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang berada di tangga kedua dengan 90,411 mata selepas gagal mempertahankan kejuaraan di Masters Malaysia minggu lalu.
Pencapaian bersejarah ini menjadikan Sze Fei-Izzuddin sebagai beregu lelaki Malaysia pertama menduduki ranking nombor satu dunia sejak Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada 2016, dan menyertai kelompok legenda negara seperti Razif-Jalani, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, serta Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock.
Musim 2024 menyaksikan mereka bermula cemerlang dengan menjuarai Terbuka India, namun prestasi mereka sedikit merosot dalam beberapa kejohanan selepas itu apabila gagal mara ke separuh akhir.
Sze Fei-Izzuddin dijadual turun semula ke gelanggang dalam saingan Terbuka Singapura, menentang gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dalam aksi pusingan pertama.
Sementara itu, beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di tempat ketiga dunia, manakala juara Masters Malaysia 2025, Man Wei Chong-Tee Kai Wun naik ke kedudukan ketujuh dunia.