NEW YORK, 22 Julai – Juara Olimpik, Zheng Qinwen, sah menarik diri daripada kejohanan Grand Slam Terbuka AS selepas menjalani pembedahan pada siku kanan, menurut kenyataan rasmi penganjur kejohanan pada Isnin.
Pemain nombor enam dunia itu sebelum ini mendedahkan melalui Instagram yang dia mengalami kesakitan berterusan pada siku kanan, yang menjejaskan prestasi semasa latihan dan pertandingan.
“Selepas mencuba pelbagai rawatan tanpa hasil, saya akhirnya membuat keputusan untuk menjalani pembedahan artroskopi, hasil perbincangan dengan pakar siku dan pasukan sokongan,” katanya.
Zheng, 22, kini berehat seketika daripada kejohanan bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan.
Tahun lalu, bintang muda China itu mencipta kejutan apabila merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Paris dan mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia 2024.
Namun, momentum tersebut terhenti apabila dia tersingkir seawal pusingan pertama Wimbledon awal Julai lalu, tewas kepada pemain Republik Czech, Katerina Siniakova.
Berikutan penarikan diri Zheng, slot utama Terbuka AS yang dijadual bermula 24 Ogos di New York akan diisi oleh pemain Perancis, Leolia Jeanjean.-REUTERS