fb fb fb fb fb

Legenda bola sepak England, Paul Gascoigne dikejarkan ke hospital

Bekas legenda bola sepak England, Paul Gascoigne/Foto REUTERS

LONDON, 22 Julai – Media British melaporkan bahawa bekas bintang bola sepak England, Paul Gascoigne, kini dirawat di hospital selepas ditemui separuh sedar di kediamannya di Poole, England.

Pemain berusia 58 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di unit perubatan akut.

Beliau dijangka akan dirawat untuk beberapa hari.

Gascoigne, yang mesra digelar “Gazza”, merupakan antara pemain paling berbakat dan berkarisma yang pernah dilahirkan England.

Beliau memulakan karier profesional bersama Newcastle United pada 1985 sebelum mencipta nama bersama Tottenham Hotspur, Lazio di Itali, Rangers di Scotland, Middlesbrough dan Everton.

Sepanjang kariernya, beliau dikenali sebagai pemain tengah yang kreatif, berskil tinggi dan penuh semangat juang.

Gascoigne juga menjadi watak penting dalam skuad kebangsaan England, terutamanya ketika kempen Piala Dunia 1990 di Itali, menyaksikan England mara ke separuh akhir.

Air mata Gascoigne selepas dilayangkan kad kuning dalam separuh akhir menentang Jerman yang menyebabkan dia terlepas beraksi jika England mara ke akhir menjadi salah satu detik paling ikonik dalam sejarah bola sepak dunia.

Beliau memperoleh 57 caps antarabangsa dan menjaringkan 10 gol untuk England.

Sepanjang kerjayanya, Gascoigne meraih pelbagai penghargaan individu termasuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA pada tahun 1988, Pemain Terbaik Tahunan Tottenham Hotspur musim 1990–91 dan Pemain Terbaik Bulanan Liga Perdana Inggeris bagi bulan Disember 1995.

Namun begitu, kehidupan Gascoigne di luar padang sering dibayangi isu peribadi.

Sejak bersara daripada bola sepak profesional pada 2004 yang disifatkannya sebagai telah “merobek jiwanya”, beliau bergelut dengan ketagihan alkohol dan dadah, paranoia serta kemurungan.

Beberapa siri rawatan pemulihan telah dilaluinya sepanjang hampir dua dekad lalu.

Meskipun kehidupannya penuh dengan cabaran, Gascoigne tetap dikenang sebagai antara permata bola sepak England yang paling menghiburkan dan berbakat. - REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD