fb fb fb fb fb

Venus William raih kemenangan selepas setahun berehat

Bintang tenis Amerika Syarikat, Venus Williams kembali bertanding selepas berehat 16 bulan akibat pembedahan/Foto REUTERS

WASHINGTON, 22 Julai - Juara Grand Slam tujuh kali, Venus Williams kembali ke kancah tenis kompetitif selepas berehat selama 16 bulan dengan meraih kemenangan dalam acara beregu pada kejohanan DC Open.

Pemain berusia 45 tahun itu bergandingan dengan rakan senegara, Hailey Baptiste, untuk menewaskan pasangan Eugenie Bouchard dari Kanada dan remaja Amerika Syarikat, Clervie Ngounoue, dengan keputusan 6-3, 6-1 dalam pusingan pertama.

"Selepas perlawanan, Hailey tanya saya, 'Apa perasaan kamu?' Rasanya lebih sukar bermain beregu dahulu sebab saya bukan pemain beregu," kata Venus.

"Jadi, bagus ada dia untuk menyokong pasukan. Dia berpengalaman, dia beraksi sepanjang tahun dan bermain dengan baik. Itu banyak membantu saya", ujar Venus.

Tambah Venus lagi, walaupun beliau memiliki lebih banyak pengalaman dalam acara perseorangan, perlawanan ini memberinya peluang merasai semula sentuhan permainan.

Beliau menyifatkan keadaannya sekarang amat berbeza berbanding tahun lalu.

"Tahun ini amat berlainan. Tahun lepas saya sedang bersiap untuk pembedahan.

"Tahun ini saya dapat bersedia untuk bermain kejohanan. Ia umpama siang dan malam," katanya.

Venus dijadual membuat kemunculan semula dalam acara perseorangan pada Selasa, menentang pemain muda Amerika, Peyton Stearns.

Venus yang sebelum ini bergelut dengan masalah kesihatan sepanjang tempoh rehatnya berkata mampu kembali ke gelanggang merupakan satu kemenangan moral buatnya.

"Saya hanya mahu sihat. Kita boleh main banyak perlawanan, melakukan bermacam-macam perkara.

"Tetapi bila kesihatan hilang, segala peluang pun hilang. Itu mengubah seluruh perspektif saya," katanya.

“Masa itu saya langsung tak fikir tentang tenis. Saya cuma nak pembedahan yang berjaya dan terus hidup.

Tenis memang hidup kami, obsesi kami… macam kultus. Tapi bila kesihatan tak ada, semua itu tidak bermakna", katanya.

Beliau berkata pengalaman itu memberinya kekuatan untuk kembali ke gelanggang dan bermain dengan lebih bebas tanpa tekanan.

Venus juga menyifatkan detik kemenangan itu penting untuk dikongsi bersama penonton.

"Ia satu perjalanan panjang. Saya dah berbulan-bulan berlatih untuk sampai ke tahap ini.

"Tapi kemenangan tidak dijamin, anda hanya menang bila mata terakhir dimenangi. Jadi, emosi itu wajar dikongsi bersama penyokong," jelasnya.

Sementara itu, Eugenie Bouchard, yang bakal bersara minggu depan di Kanada, menganggap pertemuan terakhir menentang Venus sebagai sesuatu yang istimewa.

"bermain menentang dia buat kali terakhir sangat bermakna. Dia 14 tahun lebih tua daripada saya dan masih kuat bertanding. Saya sangat hormat padanya.

"Dia memang legenda sebenar," kata Bouchard. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD