fb fb fb fb fb

Piala Super Saudi: Al Hilal tarik diri akibat jadual padat

Foto REUTERS

RIYADH, 22 Julai – Kelab gergasi Arab Saudi, Al Hilal, mengesahkan bahawa pasukan itu tidak akan menyertai Piala Super Saudi musim 2025–26 yang dijadual berlangsung bulan depan, berikutan jadual padat yang dihadapi pasukan itu.

Al Hilal menamatkan saingan Liga Pro Saudi musim lalu di tempat kedua di belakang juara, Al-Ittihad, pada hujung Mei.

Mereka turut tersingkir di peringkat suku akhir Piala Raja dan separuh akhir Liga Juara-Juara AFC musim lalu.

Selepas musim domestik tamat, pasukan yang berpangkalan di Riyadh itu berangkat ke Amerika Syarikat bagi menyertai saingan Piala Dunia Kelab yang bermula pada 18 Jun, dengan perlawanan pembukaan menentang juara Eropah, Real Madrid.

Al Hilal mencipta kejutan apabila menyingkirkan Manchester City di pusingan 16 terbaik, namun disingkirkan Fluminense di suku akhir.

Piala Super Saudi musim ini dijadual berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos di Hong Kong, iaitu hanya beberapa hari sebelum musim liga baharu bermula hujung Ogos.

Menurut kenyataan kelab tersebut, penyertaan dalam Piala Dunia Kelab dan masalah penerbangan telah memendekkan tempoh cuti pemain yang kini berjumlah 24 hari.

Sekiranya kelab berkenaan berhasrat untuk menyertai Piala Super Saudi, mereka hanya akan mendapat 21 hari sahaja.

Situasi itu turut memaksa Al Hilal menangguhkan sesi persiapan pramusim mereka, sekali gus mewujudkan ketidakseimbangan persaingan antara kelab yang bertanding.

Perkara itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) melalui surat.

SAFF memaklumkan bahawa mereka akan mengambil langkah sewajarnya mengikut peraturan dan garis panduan yang berkaitan melalui jawatankuasa kejohanan, namun tidak memberikan perincian lanjut. - REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD