KUALA LUMPUR, 22 Julai - Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan kempen Terbuka China dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Amerika Syarikat Presley Smith-Jennie Gai di Changzhou hari ini.
Perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik menyaksikan gandingan pilihan keempat kejohanan itu mengambil masa 35 minit untuk mengecewakan pencabar mereka 22-20, 21-12.
Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut bagi Tang Jie-Ee Wei selepas turut menewaskan gandingan sama dalam straight set pada Terbuka Singapura, Mei lepas.
Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu pasangan tuan rumah Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying pada pusingan kedua, Khamis ini.
Jia Xuan-Meng Ying menundukkan satu lagi gandingan negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-15, 21-16 dalam satu lagi aksi pusingan pertama. - BERNAMA