fb fb fb fb fb

Manchester United sambar Bryan Mbeumo

Penyerang baharu Manchester United, Bryan Mbeumo/Foto REUTERS

MANCHESTER, 22 Julai - Manchester United mengesahkan kelab berkenaan telah menandatangani penyerang antarabangsa Cameroon, Bryan Mbeumo dari Brentford dengan kontrak sehingga 2030 dan pilihan lanjutan setahun.

Menurut sumber kelab, perpindahan tersebut melibatkan bayaran sebanyak £65 juta atau (RM388 juta) dengan tambahan £6 juta sebagai bonus prestasi.

Mbeumo, 25, menjadi antara pemain paling menyerlah dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim lepas apabila meledak 20 gol, membantu Brentford menamatkan saingan di tangga ke-10 liga.

Hanya Mohamed Salah (29 gol), Alexander Isak (23) dan Erling Haaland (22) berjaya menjaringkan lebih banyak gol berbanding Mbeumo musim lalu.

“Sebaik saja saya tahu ada peluang untuk menyertai Manchester United, saya tidak teragak-agak.

"Ini kelab impian saya, kelab yang jersinya saya pakai sewaktu kecil,” kata Mbeumo dalam kenyataan rasmi.

“Mentaliti saya ialah untuk sentiasa jadi lebih baik daripada semalam. Saya percaya semangat dan karakter saya akan membantu saya mencapai tahap lebih tinggi di sini, sambil belajar daripada Ruben Amorim dan bermain bersama-sama pemain berkelas dunia,” tambahnya.

Mbeumo, yang mampu bermain di posisi sayap kanan dan penyerang tengah, menjadi tunjang utama Brentford musim lalu apabila diturunkan dalam kesemua perlawanan liga.

Beliau menyertai Brentford dari kelab Perancis, Troyes, pada 2019 dan mencatatkan 242 penampilan, dengan rekod 70 gol dan 51 bantuan gol (assist).

Pengarah Bola Sepak United, Jason Wilcox berkata rekod jaringan dan bantuan gol Bryan di Premier League amat luar biasa.

Konsistensinya menjadikannya antara pemain paling produktif di England sejak tiga musim lalu.

Katanya, kelab gembira kerana berjaya mendapatkan salah satu sasaran utama mereka lebih awal sebelum jelajah pramusim.

Pengalaman di Amerika Syarikat nanti akan menjadi medan terbaik untuk Bryan menyesuaikan diri dengan Ruben Amorim dan rakan sepasukan baharunya menjelang musim yang mencabar.

United dijadualkan beraksi dalam tiga perlawanan pramusim di Amerika Syarikat: 26 Julai menentang West Ham United di New Jersey, 30 Julai menentang Bournemouth di Chicago dan 3 Ogos menentang Everton di Atlanta. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD