fb fb fb fb fb

Zhao Xintong lakar sejarah muncul juara dunia snuker pertama dari China

FOTO REUTERS

SHEFFIELD, 6 Mei- Zhao Xintong mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain China pertama menjuarai Kejohanan Dunia Snuker selepas menewaskan pemain Wales yang juga juara tiga kali, Mark Williams, di Crucible Theatre pada Isnin.

Pemain berusia 28 tahun itu menang dengan keputusan 18-12 meskipun Williams memberikan tentangan hebat di penghujung perlawanan.

Zhao sebelum ini dikenakan penggantungan selama 20 bulan pada Januari 2023 susulan skandal mengatur perlawanan.

Akibatnya, beliau diklasifikasikan sebagai pemain amatur bagi kejohanan berkenaan dan terpaksa melalui empat pusingan kelayakan untuk mara ke Crucible.

Menariknya, Zhao yang tinggal hanya 10 minit berjalan kaki dari venue kejohanan, membawa kelebihan 11-6 pada malam terakhir sebelum perlawanan bersambung ke sesi ketiga Isnin.

Sepanjang sesi petang, Zhao kekal tenang walaupun Williams berusaha keras mencari rentak. Zhao mendahului 17-8 sebelum hanya memerlukan satu frame sahaja lagi pada sesi malam untuk mengesahkan kejuaraan.

Namun Williams, 50, yang sebelum ini mencipta rekod sebagai pemain tertua mara ke final selepas menundukkan pemain nombor satu dunia Judd Trump di separuh akhir, bangkit cemerlang memenangi empat frame berturut-turut di sesi malam.

Akhirnya, Zhao akhirnya memuktamadkan kemenangan pada frame kelima untuk merangkul gelaran berprestij itu.

Zhao yang digelar “The Cyclone” sebelum ini menewaskan juara tujuh kali, Ronnie O’Sullivan, di separuh akhir untuk layak ke pentas akhir, sekali gus dianggap bakal 'raja baharu' dalam arena snuker.

Kejayaan Zhao itu turut menyaksikan beliau menyertai Terry Griffiths dan Shaun Murphy sebagai satu-satunya pemain kelayakan yang pernah memenangi trofi snuker paling berprestij itu. Zhao membawa pulang hadiah wang tunai 500,000 pound hasil kemenangan bersejarah itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE