fb fb fb fb fb

Gary Hall Jr. terima semula 10 pingat Olimpik yang musnah dalam kebakaran LA

FOTO REUTERS

LAUSANNE, 6 Mei – Bekas jaguh renang Olimpik, Gary Hall Jr., menerima semula replika 10 pingat Olimpik miliknya yang musnah dalam kebakaran hutan dahsyat di Los Angeles pada Januari lalu.

Pingat tersebut disampaikan oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach dalam satu majlis khas di ibu pejabat IOC di Lausanne.

“Terima kasih atas pingat ini, belum pernah dalam sejarah 10 pingat Olimpik digantikan. Mungkin sebab tiada siapa pernah hilang 10 pingat sebelum ini. Saya akan pastikan saya menjaganya denan baik kali ini,” katanya.

Hall, 50, mewakili Amerika Syarikat dalam tiga edisi Olimpik Atlanta 1996, Sydney 2000 dan Athens 2004 dengan koleksi lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Dalam kejadian kebakaran yang melanda kawasan Pacific Palisades, Hall terpaksa meninggalkan rumahnya bersama semua pingat tersebut ketika api marak memusnahkan harta benda di kawasan berkenaan.

“Apabila kami membaca kisah tragis mengenai kehilangan rumah, harta benda dan segala yang dimiliki anda, ia benar-benar menyentuh hati kami,” kata Bach dalam ucapannya.

Kebakaran hutan itu meragut sekurang-kurangnya 29 nyawa dan memusnahkan sebahagian besar kawasan Altadena dan Pacific Palisades, sekali gus memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.

Insiden berkenaann turut direkodkan sebagai bencana alam paling mahal dalam sejarah Amerika Syarikat.

Untuk rekod, Los Angeles bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas seterusnya pada tahun 2028.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE