fb fb fb fb fb

Zakiah Adnan terima tiket ke Sukan Asia Huangzhou 2023

AYER KEROH, 24 Julai- Atlet karate negara Zakiah Adnan, menerima tiket ke temasya terbesar Asia Tenggara, Sukan Asia Hangzhou 2023 selepas meraih pingat gangsa pada Kejohanan Karate Asia, semalam.

Atlet berusia 20 tahun itu teruja dengan peluang diberikan selain meningkatkan tahap keyakinan dirinya dan tekad membalas kepercayaan diberi kepadanya.

"Dari awal tahun saya tahu ada Sukan Asia tetapi, saya masih baru dan tidak menjangka peluang ini. Ini memang satu kejutan dan saya akan tingkatkan keyakinan dan cuba yang terbaik untuk persediaan ini," katanya kepada RTM.

Zakiah terpilih berdasarkan kejayaannya meraih pingat gangsa acara kumite wanita 61 kilogram pada penampilan kedua kejohanan berprestij itu.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad menjanjikan untuk memberi slot di Sukan Asia kepada yang berjaya menyumbang pingat di Kejohanan Karate Asia.

Atlet yang tersenarai untuk beraksi di temasya dwitahunan itu turut akan mengharungi tiga kejohanan iaitu di Tunisia, Morocco dan salah satu negara di Eropah sebagai persiapan.

Zakiah yakin dalam tempoh hampir dua bulan sebelum Sukan Asia, dia mampu membuat persediaan menghadapi tiga kejohanan tersebut.

"Saya akan mengambil peluang dari tiga negara itu dan meningkatkan tahap kecergasan saya. Nasihat yang diberikan juga akan digunakan sebagai panduan," katanya.

Sukan Asia dijadualkan berlangsung 23 September hingga 8 Oktober di Hangzhou, China.

(Zakiah Adnan)

Media Baharu