KUALA TERENGGANU , 16 Februari - Pasukan persediaan ke pentas Piala Asia Bawah 21 tahun, Young Tigress membuat kejutan untuk menafikan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) di laman sendiri untuk aksi perlawanan kedua buat kedua-dua pasukan dalam kempen Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini.
TLHT yang kembali mewarnai liga hoki wanita musim ini setelah menarik diri pada dua edisi lalu; diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman besar di pentas antarabangsa.
Namun situasi berbeza dipamerkan bagi aksi di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu di mana TLHT kehilangan rentak penguasaan seawal minit pertama permainan.
Situasi itu pantas diambil kesempatan oleh pasukan pelawat yang rata-rata dibarisi oleh pemain-pemain untuk untuk mencipta serangan sekali gus memberi tekanan buat pasukan tuan rumah.
Kesilapan mudah jentera pertahanan TLHT di hadapan gawang mereka dihukum oleh Siti Nur Irdina Mohd Nor seawal minit ke-7 permainan melalui pukulan 'reverse' untuk menghadiahkan jaringan pertama buat Young Tigress.
(FOTO FB Fit Terengganu)
Tersentak dengan situasi itu memaksa TLHT untuk terus berhempas pulas mencipta serangan demi serangan namun gagal untuk diterjemahkan melalui jaringan gol.
Pada aksi separuh masa kedua, Young Tigress sekali lagi menambah tekanan buat TLHT setelah jentera pukulan sudut penalti berfungsi dengan baik pada minit ke-33 permainan untuk memberi peluang kepada Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menambah jurang untuk meletakkan keputusan semasa 2-0.
Gol tunggal milik TLHT hanya hadir pada minit ke-46 permainan melalui jentera pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Fazila Sylvester Silin namun keputusan 2-1 tetap memihak kepada pasukan pelawat sehingga tamat permainan.
"Kita tahu kekuatan TLHT dengan pemain kebangsaan mereka mempunyai sesuatu, iaitu kombinasi yang baik, jadi saya mengekalkan strategi menunggu dan mengambil kesempatan bila mereka membuat kesilapan," kata Ketua Jurulatih Young Tigress, Lailin Abu Hasan.