fb fb fb fb fb

Yiwen raih tiket Kejohanan Skuasy Dunia

Foto RTM

 KUALA LUMPUR, 21 April -Pemain Skuasy wanita negara, Chan Yiwen berjaya mengesahkan tiket ke Kejohanan Skuasy Dunia buat kali pertama.

Yiwen memastikan tiket ke kejohanan berprestij itu selepas menundukkan rakan senegara, Sehveetrraa Kumar pada aksi kelayakan zon Asia di Pusat Skuasy Nasional Jalan Duta, petang tadi.

Juara Piala Cabaran Skuasy Hong Kong 2024 itu, menang dengan 11-6, 11-3, 11-3 dalam tempoh 24 minit, sekaligus menebus kekecewaan tahun lalu selepas terkandas di pusingan kelayakan.

Yiwen akan menyertai empat lagi pemain negara yang sudah melayakkan diri lebih awal iaitu Ng Eain Yow, S Sivasangari, serta Aira Azman dan Aifa Azman.

Sementara itu, Malaysia terlepas tiket dalam acara perseorangan lelaki selepas wakil negara, Addeen Idrakie Bakhtiar tewas di pentas final.

Addeen terpaksa akur kepada pemain Jepun, Ryunosuke Tsukue 9-11, 8-11, 3-11.

Kejohanan Skuasy Dunia akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada 8 dan 9 Mei ini.

Sementara itu, Yiwen mengakui pada Februari lalu dia disahkan mengalami kecederaan buku lali dan dinasihatkan untuk berehat kira-kira tiga bulan sekali gus bakal terlepas kejohanan penting tahun ini.

Namun pengorbanannya mengenepikan perkara itu ternyata berbaloi apabila dia kini layak ke Kejohanan Skuasy Dunia.

"Tahun lalu, saya hanya selangkah sahaja lagi, namun tahun ini, saya dahagakan kemenangan dan mahu memenangi seberapa banyak kejohanan yang disertai", katanya.

Sementara itu ditanya mengenai persiapannya untuk Kejohanan Skuasy Dunia, Yiwen tekad untuk bekerja keras.

"Hanya berbaki dua minggu sahaja sebelum kejohanan, saya akan berkerjasama dengan pasukan Psikologi sukan dan jurulatih kecergasan bagi mempersiapkan diri bagi kejohanan berkenaan.

"Saya perlu menang pada pusingan pertama dan harap-harapnya mampu pergi lebih jauh", kata Yiwen yang ditemui pemberita selepas aksi kelayakan zon Asia di Pusat Skuasy Nasional Jalan Duta di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD